Monday, January 21, 2008

Dasar Penubuhan PALAPES

PALAPES merupakan singkatan bagi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan. Program latihan yang diberi kepada mahasiswa-mahasiswi, selain daripada melengkapkan mereka sebagai pegawai simpanan ATM, juga membantu IPTA khasnya dan negara amnya dalam membentuk warganegara yang sempurna, berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri ketahanan nasional. PALAPES melatih setiap pengambilan pegawai kadet dalam tempoh 3 tahun secara sambilan; latihan biasa diadakan pada setiap hujung minggu.

Selain daripada itu diadakan juga latihan lanjutan dan latihan intensif yang diadakan setahun sekali selama 3 minggu sepenuh masa. Keseluruhan latihan PALAPES adalah digiatkan ke arah memperlengkapkan pegawai-pegawai kadet dengan ilmu ketenteraan yang cukup meyakinkan mereka apabila negara memerlukan mereka kelak. Keseluruhan disiplin tentera yang diamalkan bertujuan menjadikan mereka sebagai mahasiswa yang berdisiplin dan GAGAH SETIA.

PALAPES adalah sebuah unit latihan dibawah perintah Markas Latihan Tentera Darat dan ditubuhkan untuk tujuan melatih pegawai-pegawai simpanan Tentera Darat (Rejimen Askar Wataniah) sahaja. Kini PALAPES Tentera Laut dan Tentera Udara telah ditubuhkan dan ianya mengikut corak PALAPES Tentera Darat dan adalah dibawah perintah Markas Latihan cawangan masing-masing.

Tujuan PALAPES ditubuhkan adalah untuk memberi kerjaya kepada mahasiswa yang telah lulus dari institusi berkenaan, sama ada bertugas sebagai pegawai jangka pendek dalam ATM ataupun di dalam Pasukan Simpanan. PALAPES juga bertindak sebagai perintis untuk mewujudkan satu barisan pegawai-pegawai yang mana tenaga mereka boleh mengembelengkan tenaga apabila negara memerlukan perkhidmatan mereka kelak.

Dengan itu penubuhan PALAPES di semua IPTA adalah berasaskan kepada (Mesyuarat Lembaga Penasihat PALAPES 1/96, Dewan Senat UUM, 12 Jun 1996):

(a) Kesedaran dan kepercayaan bahawa IPTA dalam negara ini mempunyai potensi besar menyediakan sumber tenaga manusia yang berkelayakan akademik tinggi dan boleh memberi sumbangan besar terhadap keperluan pertahanan negara.

(b) Kepercayaan bahawa berasaskan kelulusan akademik yang sedia ada pada mereka, mahasiswa ini boleh dijadikan pegawai simpanan yang dinamik serta berdedikasi jika diberi bimbingan serta latihan ketenteraan yang sesuai.

Objektif PALAPES seperti yang dipersetujui ialah:

(a) melatih pelajar IPTA dalam ilmu ketenteraan bagi membina insan berdisiplin dan bersemangat waja

(b) menyediakan sumber tenaga pegawai lepasan IPTA untuk Angkatan Simpanan dan Angkatan Tetap

(c) menyiapkan warganegara yang terlatih dalam bidang ketenteraan bagi mengukuhkan pertahanan negara dan ketahanan nasional.

1 comment:

LtM Liew said...

pahit dan manis sentiasa ada dalam hati