Monday, January 21, 2008

DASAR PERTAHANAN NEGARA DAN PATRIOTISME

DASAR PERTAHANAN NEGARA DAN PATRIOTISME
Date: Monday, October 03 @ 13:06:44
MYTTopic: ARTIKEL/RENCANA

OLEH CIK SITI AZIZAH ABOD

Kedaulatan dan kemerdekaan sesebuah negara perlu dikekalkan sepanjang masa dalam apa keadaan sekalipun. Tanggungjawab mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah negara ini daripada sebarang bentuk ancaman dan serangan luar adalah terletak di bahu Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Namun demikian, kemampuan ATM dalam mempertahankan negara ini akan lebih mantap dengan sokongan dan semangat patriotisme semua lapisan rakyat. Kesanggupan rakyat berkorban bagi membela negara secara langsung atau tidak langsung adalah manifestasi sifat patriotik rakyat dan merupakan aset penting dalam usaha mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

ASAS – ASAS UTAMA DASAR PERTAHANAN NEGARA

2. Objektif Dasar Pertahanan Negara (DPN) adalah untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah negara ini serta melindungi kepentingan strategiknya. Di atas asas utama DPN ialah konsep berdikari (self – reliance) dan pertahanan menyeluruh (total defence).

3. Malaysia sedar erti berdikari yang sebenar agak sukar direalisasikan, dari itu pendekatan yang diambil adalah secara pragmatik. Ke arah ini bagi memastikan prinsip tersebut dapat dicapai, Kerajaan telah merangka perancangan yang berterusan bagi membangunkan keupayaan ATM sebagai satu pasukan tentera yang mantap dan disegani. Ini termasuk usaha membangunkan industri pertahanan negara bagi mengurangkan pergantungan kepada bekalan luar.4. Asas konsep berdikari membawa maksud kemampuan ATM dalam menghadapi sebarang ancaman yang mengganggu – gugat keselamatan dalam negeri. Ini termasuklah menangani ancaman dari dalam sepertimana ATM menghadapi ancaman pengganas komunis dan kegiatan puak pelampau seperti Kumpulan Al – Maunah. Dengan sokongan dari industri pertahanan tempatan dan bekalan logistik yang wujud, ATM yakin dapat menangani ancaman di peringkat rendah dan pertengahan menerusi tindak balas operasi darat, laut dan udara. Bagaimanapun, bagi konflik atau ancaman melebihi kedua – dua peringkat tersebut, negara memerlukan bantuan luar. Usaha diplomasi dan memohon komitmen Peraturan Pertahanan Lima Negara akan terpaksa dituntut.

5. Bagi melengkapi konsep berdikari dalam pertahanan, DPN menekankan kepada konsep pertahanan menyeluruh. Falsafah konsep ini menganjurkan bahawa beban tugas mempertahankan negara tidak semata – mata terletak di bahu angkatan tentera malahan ianya merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh semua lapisan rakyat, agensi – agensi kerajaan dan badan – badan bukan kerajaan serta swasta.

6. Pertahanan menyeluruh merangkumi unsur – unsur ketahanan psikologi, kesepaduan sosial, kesiapsediaan awam, ketahanan ekonomi dan kesiapsiagaan ketenteraan. Ketahanan psikologi mencakupi kekuatan mental yang ditunjukkan melalui kesediaan memberi komitmen dan keyakinan yang padu dalam mendokong kedaulatan negara serta kesediaan mempertahankan negara. Untuk membina bangsa Malaysia yang memiliki ketahanan psikologi, sifat – sifat seperti cintakan negara, kesanggupan berkorban, tidak mudah terpengaruh dengan dakyah musuh, jasmani yang cergas dan berdisiplin perlulah dipupuk di kalangan masyarakat.

7. Kesiapsiagaan ketenteraan diperlengkapkan menerusi pertahanan menyeluruh dalam memperkasakan pertahanan negara dan keselamatan daripada sebarang ancaman. Ini termasuk menjaga harta benda, nyawa dan mengekalkan keamanan negara. Hal ini melibatkan usaha bersepadu pasukan keselamatan menerusi program – program pembangunan sosial ekonomi dan aktiviti perang saraf.

8. Pertahanan menyeluruh juga memerlukan kesepaduan sosial di mana masyarakat hidup bersatu padu dan harmoni tanpa mengira perbezaan status kaum, agama, budaya dan negeri. Usaha memupuk nilai – nilai murni seperti amalan sikap penyayang, bertoleransi dan saling membantu, permuafakatan dan kerjasama di kalangan masyarakat sentiasa dilakukan dalam masyarakat berbilang bangsa dan berbagai lapisan.

9. Kesiapsediaan awam merupakan komponen pertahanan menyeluruh yang membawa erti kesediaan agensi – agensi awam, pihak swasta, pertubuhan sukarela dan orang awam dalam menyediakan kemudahan perlindungan nyawa dan harta benda mereka dari bencana peperangan. Mereka hendaklah melibatkan diri dalam usaha – usaha pembekalan kemudahan asas yang berterusan di dalam keadaan bencana, darurat dan peperangan.

10. Untuk mencapai matlamat kesediaan awam ini, kerajaan sentiasa menggalakkan penglibatan badan – badan bukan kerajaan dan pertubuhan awam serta sukarela dalam kegiatan – kegiatan kemasyarakatan seperti usaha menyelamat, pengagihan bekalan dan bantuan kecemasan. Kesediaan awam yang mantap penting dalam peperangan, bencana dan darurat. Kesediaan awam merupakan satu perkongsian tanggungjawab dan beban antara awam dan tentera. Ini akan memudahkan pasukan keselamatan menumpukan tugas mereka kepada menghadapi musuh negara.

11. Konsep pertahanan menyeluruh melibatkan usaha dan tindakan bersepadu serta komitmen orang awam, badan – badan bukan kerajaan, swasta dan agensi – agensi kerajaan dalam mempertahankan negara. Ini penting kerana aset dan kemudahan awam seperti landasan kapal terbang, lebuh raya, jambatan, tempat letak kereta di bawah bangunan dan sebagainya amat berguna semasa peperangan. Semasa krisis, koordinasi yang mantap di antara kerajaan dan badan bukan kerajaan serta sektor swasta amat diperlukan. Sesungguhnya asas – asas berdikari dan pertahanan menyeluruh telah menerapkan elemen – elemen patriotisme di kalangan anggota tentera dan awam. Sedar atau tidak, setiap warganegara yang terlibat dalam asas – asas pertahanan menyeluruh telah ditanam semangat patriotisme.

SEMANGAT PATRIOTISME DALAM MEMPERTAHANKAN NEGARA

12. Manifestasi yang jelas untuk menggambarkan semangat patriotisme ialah dengan menyertai AngkatanTentera Malaysia. Anggota – anggota ATM merupakan warganegara yang telah menzahirkan semangat patriotisme dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara pada setiap masa. Pada masa ini ATM mempunyai 95,000 anggota tetap dan dari jumlah ini sebanyak 85.5 peratus adalah kaum Melayu manakala 5.16 peratus adalah dari kaum Iban. Selebihnya pula ialah 2.04 peratus dari kaum India, Cina 0.54 peratus dan 6.76 peratus dari keturunan lain.

13. ATM telah melahirkan ratusan ribu tentera terlatih dan mereka ini kekal berada pada tahap patriotisme yang paling tinggi. Sama ada mereka telah bersara atau tidak, namun kedudukan mereka dalam masyarakat dan di negara ini turut menyumbang kepada semangat patriotisme. Ini boleh diperlihatkan menerusi perawakan atau penampilan diri mereka yang boleh dijadikan contoh kepada ahli masyarakat yang lain. Mereka juga mempunyai kebolehan tersendrii dalam bidang masing – masing dan ini adalah aset negara dalam mencurahkan semangat patriotisme.

14. Semangat patriotisme kekal dan berterusan di kalangan anggota ATM yang telah bersara. Mereka yang bersara dalam umur yang muda telah melibatkan diri dalam berbagai sektor ekonomi dan sosial sebagai rakyat biasa. Setiap tahun purata seramai 5000 anggota tentera bersara dan mereka ini telah kembali berada dalam masyarakat. Kehadiran mereka dalam masyarakat membawa bersama tradisi dan disiplin ketenteraan serta semangat patriotisme yang boleh mempengaruhi masyarakat sekitarnya.

15. Sebenarnya setiap warganegara boleh juga memperlihatkan semangat patriotisme tanpa perlu terlibat terus dalam ATM. Mereka boleh menyertai Pasukan Simpanan Angkatan Tentera (PSAT). Penyertaan dalam PSAT merupakan peluang untuk menunjukkan semangat patriotisme seseorang warganegara kepada negaranya. Ke arah ini adalah menjadi harapan Kementerian untuk menubuhkan pasukan Askar Wataniah di setiap kawasan Parlimen. Sehingga kini terdapat lebih 51,000 yang menganggotai Pasukan Simpanan Angkatan Tentera (sukarelawan) di mana 78 peratus adalah Melayu, 8.8 peratus Cina, 6.6 peratus India dan 6.6 peratus adalah kaum yang lain.
16. Peranan PSAT akan lebih mantap dan berkesan sekiranya pihak swasta dan badan – badan berkanun terutamanya organisasi – organisasi strategik seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, Lembaga Air, Lembaga Pelabuhan, pihak berkuasa Lapangan Terbang, Syarikat Penerbangan dan Syarikat Pengangkutan yang dianggap sebagai organisasi perkhidmatan asas bersedia mewujudkan unit – unit Pasukan Simpanan khasnya di agensi – agensi mereka. Ini akan membolehkan organisasi – organisasi berkenaan beroperasi secara berdikari dan ruang bagi pegawai dan kakitangan untuk mengikut latihan PSAT hendaklah diberikan oleh majikan organisasi strategik dan lain – lain pihak swasta. Dengan sokongan sebeginilah usaha menanam semangat patriotik dapat diperkemaskan dan diperkembangkan.

17. Bagi kalangan remaja mereka boleh menunjukkan semangat patriotisme dengan menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang ditubuhkan di Institusi Pengajian Tinggi. Manakala itu di peringkat sekolah mereka boleh menyertai pasukan Kadet Tentera. Kesediaan remaja memaparkan semangat patriotisme menerusi penyertaan dalam PALAPES dan Kadet Tentera ini merupakan harapan dan peluang terbaik dalam proses menerapkan semangat patriotisme bagi jangka masa panjang dan sentiasa berkembang. Dalam tahun 2002 ini bilangan pelajar Melayu yang menganggotai PALAPES ialah seramai 856 orang (93.4%), Cina 27 orang (3%), India 3 orang (0.3%) dan Iban 30 orang (3.3%). Adalah besar kemungkinan peratusan yang sama bagi dalam Kadet Tentera.

18. Berdasarkan perangkaan di atas jelaslah penyertaan warganegara dalam pasukan ATM dan pasukan sukarelawan didominasi oleh satu kaum sahaja manakala penyertaan dari kaum lain kurang menggalakkan. Ini seolah – olah menunjukkan bahawa tugas mempertahankan negara terletak di bahu satu kaum sahaja. Kurangnya bilangan kaum Cina dan India menganggotai ATM ini tidak bermakna mereka tidak patriotik kepada negara tetapi mereka lebih cenderung untuk memilih sektor – sektor lain terutamanya sektor ekomoni dan perniagaan yang menjanjikan keuntungan dan peluang kerjaya yang lebih baik.

PROGRAM ATM YANG MENYUMBANG KE ARAH PATRIOTISME

19. ATM telah melaksanakan berbagai program untuk mendedahkan peranan mereka dan memberi kesedaran akan pentingnya perkhidmatan ATM dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara. Hubungan yang harmonis atau jalinan silaturahim antara ATM dengan rakyat penting dalam memacu semangat patriotik dan seterusnya memberi sokongan kepada ATM semasa aman dan perang. Program Tentera Bersama Rakyat umpamanya, berbagai aktiviti – aktiviti bercorak bantuan kemanusiaan, keagamaan, bimbingan dan khidmat kaunseling pelajaran dan kerjaya tentera, program anak angkat dan khidmat kesihatan telah dilaksanakan. Nilai – nilai murni seperti disiplin, kerjasama dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh anggota tentera semasa aktiviti – aktiviti ini diadakan telah secara langsung membangkitkan nilai – nilai patriotisme dalam masyarakat.

20. Kerajaan menerima hakikat pengorbanan anggota ATM yang tidak ternilai harganya kerana sanggup berkorban dan bergadai nyawa demi menjaga kedaulatan dan kestabilan negara. Bagi mengenang jasa dan pengorbanan ATM, pelbagai aktiviti sempena Hari Pahlawan dan Pelancaran Tabung Rayuan Hari Pahlawan diadakan di seluruh negara. Aktiviti – aktiviti yang diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia menghargai jasa anggota ATM dan menghulur derma kepada mereka yang terkorban dan tercedera sebagai tanda ingatan terhadap perjuangan mereka. Sokongan amat menggalakkan yang diberikan oleh rakyat Malaysia telah meningkatkan kesedaran dan menanamkan semangat patriotik di kalangan generasi muda. Sambutan Hari Pahlawan dan sambutan Hari Perkhidmatan ATM yang lain dengan siaran lagu – lagu patriotik dan pengisahan pengorbanan perajurit oleh media massa dan media elektronik telah menyemarakkan semangat cintakan negara.

PENUTUP

21. Pewujudan satu masyarakat Malaysia yang tahan lasak, berkeyakinan, berdisiplin dan berani menghargai pengorbanan merupakan ciri – ciri asas pembentukan masyarakat patriotik. Dasar Pertahanan Negara telah menggariskan ciri – ciri ini untuk setiap warganegara yang terlibat atau melibatkan diri menghayati nilai – nilai patriotisme yang telah diterapkan. Sebagai sebuah negara berbilang bangsa maka tanggungjawab mempertahankan negara sepatutnya tidak terletak di bahu satu kaum sahaja. Semangat patriotik perlu dihayati oleh semua kaum dan ini adalah teras kepada pertahanan negara yang kental dan mantap. Kepentingan peribadi perlu diseimbangkan dengan semangat patriotisme dan kesanggupan berkorban nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Penulis merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan Malaysia

No comments: