Monday, March 3, 2008

DELEGASI PALAPES UNIVERSITI MALAYA KE INDONESIA

oleh: PRK Elias Yaakob


PASUKAN LATIHAN PEGAWAI SIMPANAN Universiti Malaya (PALAPES UM) dengan usahasama pihak pentadbiran Universiti Melaya melalui PTj PALAPES dan pegawai-pegawai sukarela telah melaksanakan Lawatan Kerja Akademik dan Ketenteraan ke Indonesia. Lawatan tersebut diadakan selama enam hari iaitu mulai 26 Disember hingga 31 Disember 2007.

Para peserta delegasi ini adalah terdiri daripada 51 orang termasuklah ayahanda TNC HEP selaku ketua delegasi, Timbalan Komandan, ketua jurulatih, pegawai-pegawai tetap, pegawai-pegawai sukarela, dan pegawai kadet daripada PALAPES DARAT dan LAUT UM. Misi terpenting yang ingin dicapai melalui projek ini adalah untuk memberi pendedahan baru kepada mahasiswa/i yang diwakili oleh pegawai kadet seramai 10 orang dengan budaya dan suasana Indonesia dan seterusnya dapat bertukar-tukar pendapat dan pemikiran berkaitan dengan hal-hal global melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan bertepatan dengan temanya iaitu ‘Mahasiswa Glokal Pemangkin Modal Insan Global’.

Lawatan ini juga selaras dengan misi unversiti untuk mengantarabangsakan segala aspek pengetahuan mahupun daya pemikiran para mahasiswa. Segala pengalaman dan pengajaran daripada lawatan ini akan disampaikan dan dikongsikan bersama dengan pegawai kadet-pegawai kadet yang lain.

Segala persiapan awal sebelum keberangkatan pergi rombongan telah diselenggarakan bermula 23 Disember 2007 bagi memastikan perjalanan dari markas sehingga selamat tiba di Indonesia berjalan dengan baik.

*penulis adalah Pegawai Rendah Kanan PALAPES Darat Universiti Malaya.

No comments: