Tuesday, March 4, 2008

Fasa Tahunan PUMA Laut 2007



oleh: PKK Law Cheng Hown dan PKK Mohammad Nasarizal Nazaruddin

Latihan Fasa Tahunan atau lebih dikenali sebagai Annual Continuous Trainning (ACT) merupakan satu lagi bentuk latihan yang disediakan kepada anggota-anggota Palapes Laut bagi memenuhi keperluan pentauliahan. Latihan ini diadakan pada hujung tahun dan lazimnya berlangsung selama 2 minggu. Kebiasaanya, Pegawai Kadet tahun 1 akan ditempatkan di pusat latihan tertentu sementara Pegawai Kadet Kanan tahun 2 dan 3 pula akan menjalani latihan di KD Sultan Idris I yang bertempat di Pangkalan Tentera Laut Lumut, Perak.

Objektif utama yang disasarkan dalam latihan ini adalah untuk memberi pendedahan secara khusus mengenai ilmu dan tugas-tugas kelautan seorang pegawai tentera laut melalui pembelajaran di dalam kelas. Undang-undang Maritim, Navigasi serta ilmu-llmu kelautan lain merupakan aspek yang diberi perhatian sepanjang kursus latihan ini berlangsung. Pada penghujung sesi pengajaran para pegawai kadet perlu menduduki peperiksaan yang telah ditetapkan oleh pusat latihan dan wajib lulus untuk melayakkan mereka ditauliahkan kelak.



Di samping itu, latihan fizikal dan mental juga menjadi suatu penekanan yang diberikan sepanjang tempoh latihan tersebut. Pelbagai bentuk latihan fizikal disediakan oleh pusat latihan. Antaranya ialah larian pangkalan, latihan fartlek, latihan bebanan, kawad kaki, renang, dan sebagainya. Terdapat juga Ujian Kecergasan Asas (UKA) yang bertujuan untuk memastikan kecergasan para pegawai kadet sentiasa di tahap yang seimbang.



Selain daripada latihan fizikal dan mental, TLDM juga mementingkan cara makan yang bertertib atau bersopan. Tradisi ini diamalkan dalam TLDM sejak dari dahulu lagi. Tujuan tradisi ini adalah untuk memastikan para anggota Palapes boleh memakan secara sopan. Pegawai – pegawai yang berpangkat akan duduk di hadapan untuk memastikan para anggota Palapes memakan secara bertertib. Antara perkara – perkara yang tidak boleh dilakukan semasa makan adalah mereka tidak boleh duduk bersilang kaki, mengeluarkan bunyi semasa makan, menjatuhkan sisa – sisa makanan di atas meja (Man Over Boat) dan sebagainya. Mereka juga perlu meminta kebenaran sebelum dan selepas meninggalkan dewan makan. Begitu juga sebelum dan selepas makan. Justeru, para anggota Palapes akan terlatih untuk mengamalkan cara makan sopan dan bertertib yang secara langsung akan meningkatkan tahap disiplin mereka.

Kebersihan juga menjadi salah satu aspek yang terpenting dalam kehidupan harian setiap anggota TLDM. Sepanjang tempoh latihan, anggota-anggota Palapes Laut harus memastikan kawasan kediaman mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih, kemas dan teratur. Lawatan malam ataupun pemeriksaan bilik diadakan pada pukul 8.30 malam pada setiap hari. Pegawai Latihan Bertugas (PLB) akan memeriksa dari bilik ke bilik. Selain memeriksa kebersihan bilik, PLB juga akan mengenalpasti sama ada terdapat sebarang kerosakan atau kekurangan di dalam bilik yang dilaporkan oleh anggota tertentu. Inilah yang menjadi satu keunikan dan kelainan dalam TLDM.

Kesimpulannya, selain sebagai satu keperluan pentauliahan, ACT merupakan latihan yang amat penting bagi melahirkan anggota Palapes Laut yang berpengetahuan tinggi serta dari segi fizikal dan mental selaras dengan visi utama TLDM untuk menjadi tentera laut yang berkualiti.

No comments: