Tuesday, March 4, 2008

Laporan Latihan Perkhemahan FOMDEX Nov 2007



Oleh: PKK Leong Chu Yoke dan PKK Syuhada bt Nazri

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Laut) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalani Program Latihan Perkhemahan ‘Fitness Organizational and Mental Development Exercise’ (FOMDEX) yang dikoordinasikan oleh unit KD Sri Klang di Hutan Lipur Lentang, Bentong, Pahang Darul Makmur pada 19 hingga 24 November 2007. Terdapat seramai 375 orang yang terdiri daripada pegawai, anggota tetap, PSSTLDM dan anggota PALAPES (L) yang terlibat dalam latihan tersebut.

Objektif utama latihan FOMDEX ini adalah untuk:

a. Menguji dan melahirkan pegawai yang berkaliber daripada kalangan pegawai-pegawai muda PALAPES (L) di dalam aspek-aspek mengurus, mentadbir dan mengelolakan satu aktiviti perkhemahan tersebut.

b. Membina keyakinan diri dan menanam sikap tanggungjawab di samping disiplin yang tinggi di kalangan pegawai dan anggota.

c. Membentuk semangat kerjasama berpasukan dan sesi suaikenal di antara peserta-peserta perkhemahan ketiga-tiga universiti yang terlibat.

Pada 19 November 2007 (Isnin), semua pegawai, anggota tetap, PSSTLDM dan anggota PALAPES (L) berkumpul di tapak perkhemahan Hutan Lipur Lentang. Taklimat ringkas mengenai latihan dan penginapan perkhemahan diberikan oleh BM PPP (GI) Fauzi Bin Hashim supaya semua PALAPES (L) UiTM, UM dan UPM berjaga-jaga keselamatan masing-masing serta untuk memastikan kelancaran program ini. Selepas makan tengahari dan pentadbiran sendiri, Pegawai Koordinasi Latihan iaitu Lt Dya Mohd Othman bin Harun PSSTLDM mengendalikan sesi Ice Breaking supaya semua anggota PALAPES (L) dapat bersuaikenal antara satu sama lain. Mereka dibahagi kepada 10 kumpulan iaitu Alfa, Bravo, Charlie, Delta, Echo, Foxtrot, Golf, Hotel, Indian dan Julia. Di samping itu, kami perlu memikirkan persembahan kumpulan pada malam tersebut.

Kami perlu wakie-wakie (Bangun) pada 0530 H pada keesokan hari untuk acara Early Morning Activity (EMA) iaitu campus run di sekitar Hutan Lipur Lentang. Pada hari ini, kami di beritahu bahawa makanan pagi, tengahari dan malam perlu dimasak sendiri. Kami diberikan alat memasak dan makanan tentera 2 bungkus sebagai bekalan untuk menampung pemakanan sepanjang seminggu latihan FOMDEX tersebut. Pada hari tersebut kami telah menjalani aktiviti Jungle Tracking, Ikhtiar Hidup dan Night Drop/Jurik Malam. Tetapi malam tersebut hujan lebat dan keadaan tidak sesuai untuk Night Drop, namun kami terpaksa juga berhujan selama 2 jam kerana tiada tempat berteduh.



Pada 21 November 2007 (Selasa) pula, kami ada 2 sesi Repelling yang diadakan pada 0830 H dan 1400 H. Sesi pertama ialah menggunakan kompas mencari petunjuk untuk mencari 10 station yang terletak di sekitar Hutan Lipur Lentang, Kami perlu menyelesaikan masalah yang terdapat dalam setiap station iaitu meneka alphabical signal flag dan menyambung pantun yang diberikan. Sesi kedua pula, kami Abseiling di puncak bukit yang dianggarkan setinggi 5 tingkat. Di situ terdapat ramai anggota PALAPES (L) seronok belajar cara memakai tali pinggang yang betul, cara turun bukit dengan tali sambil dipantau oleh jurulatih. Mungkin disebabkan tanah liat yang licin, ramai anggota PALAPES (L) tergelincir semasa turun bukit. Pada malam tersebut, kami mempunyai satu aktiviti ’self-defense’ antara para anggota PALAPES (L) dengan anggota dari Unit KD SRI KLANG, di mana anggota PALAPES (L) perlu menyediakan makanan untuk pihak juri dan menjaga keselamatan ahli kumpulan daripada serangan anggota Unit KD SRI KLANG. Di dalam aktiviti tersebut, semua anggota PALAPES (L) bekerjasama memasak makanan malam dalam masa 1 jam di samping mempertahankan keselamatan kumpulan masing-masing daripada serangan KD Sri Klang.

Pada keesokan harinya pula, kami diberi taklimat mengenai pengenalan pistol dan cara penggunaan signal pistol yang betul. Dengan itu, kami mengetahui bahawa kita perlu menghala ke atas langit pada sudut 45 darjah di samping perlu memberi perhatian kepada sebarang halangan seperti dahan pokok kerana ini mungkin akan membahayakan keselamatan diri dan akan mengakibatkan kebakaran hutan jika tidak mengambil langkah-langkah berjaga yang sepatutnya.

Secara keseluruhannya, kami sebagai anggota PALAPES (L) sangat berbangga dan bersyukur kerana sepanjang latihan perkhemahan ’FOMDEX’ ini, kami dapat menimba pengetahuan mengenai survival di hutan di samping memantapkan lagi fizikal dan mental para anggota PALAPES (L). Hal ini berlaku kerana aktiviti yang dijalankan amat bermakna dan berfaedah serta mencabar. Seperti tema latihan FOMDEX ini ’Nothing is Impossible’, kami percaya kejayaan seseorang adalah bergantung kepada keazaman dan kesungguhan masing-masing dalam melaksanakan sesuatu tugasan atau amanah.

No comments: